Thursday, 13 February 2014

Gejala Rasuah

Gejala rasuah merobohkan kesucian dan martabat universiti sebagai gedung ilmu dan melunturkan kredibiliti dan keperibadian seseorang pensyarah atau pentadbir jika benar mereka mengamalkannya. Ironinya, elemen keikhlasan, keadilan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kejayaan turut luntur dalam jiwa penerima dan pemberi rasuah yang mencari jalan pintas mencapai matlamat masing-masing.
Dari perspektif Islam, kita ditegah terbabit dengan rasuah dan ia dianggap melakukan dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Islam menuntut ummah tidak mencari jalan singkat dan haram mendapatkan rezeki tetapi berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki halal dan diberkati Allah SWT.

Rasuah mempunyai implikasi negatif sama ada kepada pemberi atau penerima. Pemberi rasuah dangkal dan akan mencari jalan singkat dengan memberi suapan untuk mendapatkan sesuatu. Penerima rasuah pula menjadi ketagih dan mahukan lagi suapan demi suapan kerana seronok menikmati rezeki haram.

Bagaimanapun, penerima rasuah sentiasa rasa tidak selamat kerana selalu mencurigai orang lain, menjadi tidak adil dan tidak amanah. Pemberi rasuah pula akan bertambah kuat perasaan tamak dan halobanya dengan mengamalkan ‘quid pro quo’ atau berkorban sedikit untuk mendapatkan habuan lumayan.

Rasuah membuatkan seseorang menjadi tidak rasional hilang keikhlasan bekerja kerana selalu memikirkan jalan untuk mendapatkan ganjaran dengan cara mudah dan cepat. Bahkan, akan wujud perasaan ‘hendak raih keuntungan sendiri’ dengan menerima rasuah.

Kemewahan dan kesenangan yang diterima atas tiket rasuah langsung tidak diberkati Allah, bahkan mendorong ke arah pembaziran dan penyalahgunaan kuasa serta pangkat. Rezeki dan harta benda bersumberkan sesuatu yang haram seperti rasuah, akan menjadi bahan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka di akhirat kelak.

Usaha pembentukan sekretariat pencegahan rasuah ini perlu direalisasikan dan juga disokong semua warga IPT.

Inilah landasan terbaik membimbing semua pihak mengenai bahaya rasuah yang menghancurkan kewarasan fikiran dan merobohkan status universiti sebagai wadah penyebar keilmuwan paling terulung.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
La Trobe University Melbourne Australia.

No comments :

Post a Comment